Sunday, September 13, 2009

Renung Sejenak...



Dalam jangka masa 11 tahun lagi, negara Malaysia bakal menjadi sebagai sebuah negara maju. Adakah tercapai wawasan yang telah dicanangkan sekian lama sejak era kepimpinan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir ini iaitu menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Jika diamati sekarang, rakyat Malaysia masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan asas dan kadar pembacaan di kalangan rakyat.



Di Sarawak, walaupun sudah 45 tahun menyertai Malaysia, tetapi masih ada segugus kawasan yang masih hidup seperti zaman kolonial. Kawasan ini masih belum menikmati air bersih dan bekalan elektrik. Masih mengharapkan tenaga janakuasa generator sepanjang masa. Untuk sampai ke kawasan ini pula, masih belum ada jalan raya yang baik dibina. Sebaliknya, hanya menggunakan jalan balak dan jalan denai sebagai perhubungan dengan dunia luar. Jika kemudahan asas penduduk belum disiapkan, jangan lah kita gah dengan pembangunan yang selalu dicanang-canangkan. Hakikatnya, masih ada insan yang hidupnya ketinggalan daripada arus kemodenan.


Bagi kadar literasi pula, adakah benar penduduk Malaysia masih lagi jauh ketinggalan daripada pembacaan buku dalam kehidupan seharian? Berdasarkan kajian, rakyat Malaysia membaca secara purata sebanyak dua buah buku setahun. Ini merupakan satu keadaan yang menyedihkan kerana minda masyarakat belum diperkembangkan walaupun negara sudah memasuki era kemajuan teknologi maklumat.
Dalam minggu ini tadi, peluang digunakan untuk bertanya kepada pelajar bahawa sesiapa yang hobinya adalah membaca. Namun, amat menyedihkan jika dilihat responnya di mana sesetengah kelas langsung tiada pelajar yang mengangkat tangan. Bagi kelas lain, hanya 4-5 orang pelajar sahaja sebagai tanda apa yang dimaksudkan. Ini menunjukkan bahawa kadar pembacaan generasi muda terutamanya pelajar sekolah luar bandar amat rendah sekali. Di samping itu, di perhentian bas mahupun di dalam tren kita juga dapat melihat bagaimana masa terbuang tanpa menyantap minda dengan bahan-bahan bacaan. Kebanyakan asyik melayan sms, melihat orang lalu lalang dan duduk termenung. Begitu juga dengan pak jaga. Mereka kelihatan tidak mengambil peluang untuk membaca sambil berada di dalam pondok jaga. Mereka lebih suka bersembang kosong bersama teman yang datang bertandang. Jika difikirkan, amatlah rugi apabila sesetengah masyarakat tidak mengambil berat mengenai kepentingan membaca dalam kehidupan. Melalui buku, individu itu mampu menghayati pengalaman penulis malahan membawa diri berfantasi di alam yang berlainan. Sebagaimana kata seorang penulis barat yang pernah mengatakan bahawa hanya melalui buku, kita mampu menjelajah dunia tanpa perlu berada di tempat tersebut.



Seharusnya, satu mekanisme yang menarik dan berkesan perlu dilaksanakan bagi memupuk semangat cintakan buku di kalangan rakyat Malaysia. Ibu bapa mesti memperuntukkan sedikit perbelanjaan bagi membeli bahan bacaan untuk anak-anak kecil. Dengan pengorbanan sebegini, ia dapat menanam minat anak-anak agar gemar membaca buku dalam kehidupan seharian. Tambahan lagi, penerbit buku juga haruslah mengurangkan sedikit keuntungan agar segala bahan bacaan yang diterbitkan dapat dijual dengan harga yang murah. Jika kita melihat kepada industri buku di United Kingdom, kebanyakan buku ataupun novel dijual di bawah harga 10 pound sterling. Ini sedikit sebanyak menarik pembaca untuk membaca kerana buku seolah-olah seiring dengan harga makanan sahaja. Seterusnya, Institut Terjemahan Negara mestilah memainkan peranan dengan lebih giat lagi dalam menterjemahkan karya-karya penulis asing sama ada dari bahasa Inggeris, Sepanyol, Latin dan Arab ke dalam bahasa Melayu. Di Indonesia, institut terjemahan negara mereka cukup efektif dan efisien sekali dalam menterjemahkan karya luar untuk tatapan rakyat mereka. Karya terbaru dengan pantas dapat diperolehi dalam bentuk bahasa Indonesia. Keadaan ini telah melahirkan masyarakat Indonesia yang bermaklumat dalam pelbagai bidang.


Semoga Wawasan 2020 dapat dicapai dengan jayanya sambil penduduk negara sentiasa berinformasi dalam segenap perkara melalui bidang perbukuan.


Anjakan Paradigma

Semalam saya sempat berjumpa dengan seorang senior sekolah yang sudah graduated. Dia sempat mengadu masalah dan pengalamannya semasa belajar. Semoga ia menjadi pengajaran pada saya dan kita semua…


"……Abang tak minat membaca. Ini merupakan antara punca abang segan nak bergaul dengan kawan-kawan di universiti yang kebanyakannya lantang bersuara semasa berada dalam ‘kandang’ Universiti "

(p/s: sedar tak, ini antara punca pelajar salah pilih kawan. Dia takut berkawan dengan orang hebat, sebaliknya lebih selesa memilih kawan yang hidup dalam ‘Lala Land’.)

"…. Abang pernah cuba pupuk minat untuk membaca namun tak pernah berjaya .Sekarang ni, abang rasa takut untuk berhadapan dengan sebarang pekerjaan yang memerlukan kemahiran ni.."

Selepas berfikir sejenak, sambil mengacau kopi Radix yang dibancuh, saya menjawab,

"Bagus kalau abang ada memiliki rasa dan takut untuk menghadapi alam pekerjaan disebabkan ilmu yang kurang akibat kurang membaca..." Saya teguk kopi sedikit sebelum meneruskan perbualan.

"Abang jangan risau. Setiap masalah mesti ada jalan keluar. Masih belum terlambat.."


Bila kita tidak yakin dengan diri sendiri ,ianya akan menimbulkan masalah lain, malah anda sukar untuk berkomunikasi dengan orang sekitar disebabkan kelemahan tersebut. Anda tahu apabila tamat dari pengajian, anda akan jadi seorang pengacara, wartawan atau pegawai perhubungan awam. Jika dilihat daripada bidang pekerjaan, ianya menjerumus kepada memerlukan seseorang itu luas pengetahuan.


Masalah yang dihadapi kini ialah kurang minat membaca. Minat membaca boleh dipupuk. Tanya pada diri hendak atau tidak. Kita perlu paksa minat kita (minat ni kita boleh paksa).

Bagaimana nak melaksanakannya?


Disini ada beberapa tips yang boleh saya kongsi dengan anda semua…:


1. Tentukan matlamat anda tentang ilmu apa yang ingin dimiliki. Jangan terlalu melihat pada satu-satu bahan bacaan sahaja.

2. Mula memaksa diri membeli bahan bacaan sama ada surat khabar, majalah ringan, novel dan buku pengetahuan (Jangan kedekut untuk membeli bahan bacaan)

3. Jangan terlalu memilih untuk membaca pada bahan yang kita gemari shj.

4. Uruskan masa, tetapkan dalam 1 hari, berapa banyak masa diperuntukkan untuk membaca.

5. Dekatkan diri anda dengan perpustakaan dan ’jinakkan’ diri dengan buku didalamnya.

6. Ulang setiap langkah ini sehingga menjadi sebagai budaya hidup anda (proses membudayakan minat).


"Macam payah je nak buat semua tu dik…" balas senior.

Sambil meneruskan kunyahan biskut terakhir, saya membalas, "Abang, setiap perkara yang baik memang dirasa sukar untuk dilakukan pada permulaan. Bila kejanggalan menjadi kebiasaan, semuanya akan menjadi mudah…."



Renung-renungkan dan selamat beramal.... 

Lagi Tentang Kempen

Kelab Membaca Sinar Pintar


Dilancarkan semasa majlis pelancaran Kelab Membaca Kebangsaan dan Festival Membaca 2008 oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah pada 2 Julai 2008 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra.

Nama Kelab Membaca 'Sinar Pintar' diilhamkan atas manfaat membaca yang menyinari kehidupan kanak-kanak yang gemar dan mengamalkan tabiat membaca. Membaca juga akan menjadikan mereka lebih pintar dan mampu membentuk kebolehan dan potensi mereka di masa depan.

Sesuai dengan kumpulan sasar iaitu kanak-kanak, antara objektif kelab ini adalah untuk menjadikan membaca dan aktiviti-aktiviti berkaitan dengan membaca satu aktiviti riadah yang menyeronokkan di samping boleh meningkatkan pengetahuan dan pengalaman.

Rasional Logo

Bentuk hati - perhatian dan kasih sayang yang dapat dirasai oleh kanak-kanak apabila mereka diberikan kemudahan dan kelapangan untuk membaca daripada ibu bapa dan masyarakat.
Buku hijau -  mencerminkan objektif utama kelab membaca
                    +  untuk memperkayakan kehidupan kanak-kanak melalui tabiat membaca
                    +  melahirkan generasi bermaklumat dan berintelek.
Bentuk abstrak berwarna biru tua - dunia kanak-kanak yang terbentang luas dan mudah dibentuk untuk mengamalkan tabiat suka membaca.

Lagu Kempen Membaca

Membaca Gaya Wawasan


Gubahan: Kusham, Nada Studio
Lirik: SMDee, Canang Adcalls Sdn Bhd
Diterbitkan oleh: Canang Adcalls Sdn Bhd


Awal suruhan ialah membaca
Menuntut ilmu disuruh budaya
Inilah teladan sepanjang masa
Gayakan hidup dengan membaca


Apalah nama andai tanpa ilmu
Apalah mahkota permatanya palsu
Tanpa membaca cacatlah minda
Tanpa ilmu ke manalah kita


Jika ilmu penuh di dada
Bila bergaya dengan membaca
Dunia sempit menjadi luas
Tempah kejayaan tiada terbatas
Negara yang kecil tinggi martabat
Kerana ilmu, negara berdaulat


Mari kawan kita membaca
Mari rakan, timba ilmu dengan membaca
Inilah perjuangan, sambutlah seruan
Jadikan Membaca Gaya Wawasan


Everybody!
Take a book and read
To gain knowledge, everyone has to read
Let's reach out, open up your mind
Let's make reading, a lifestyle of Wawasan

Kempen Membaca

Kempen Membaca telah dilaksanakan secara sambutan Bulan Membaca Kebangsaan bermula dari tahun 1995 hingga 2005. Pelbagai aktiviti dan program berkaitan pembacaan telah dilaksanakan sepanjang bulan Ogos bagi tahun 1995 hingga 2000 dan Julai 2001 hingga 2005. Kempen Membaca telah dijadikan sebagai agenda tahunan bertujuan untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang berilmu dan bermaklumat dengan menjadikan amalan membaca sebagai budaya.


Mulai tahun 2006, di bawah teraju Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan kempen ini telah diperhebatkan dengan mengadakan program dan aktiviti sepanjang tahun bagi memberi impak yang lebih efektif. Pelbagai institusi telah terlibat di dalam menjayakan program dan aktiviti berkaitan pembacaan dan galakan membaca. Ia bukan sahaja dikendalikan oleh Perpustakaan Negara Malaysia tetapi juga Perpustakaan Awam Negeri, Kementerian, Jabatan, Agensi Kerajaan dan Swasta serta institusi-institusi lain. Tujuannya adalah bagi menarik penyertaan orang ramai dalam program dan aktiviti berkaitan pembacaan bagi menyuburkan minat membaca, memupuk kesedaran betapa pentingnya membaca sepanjang hayat, mengamalkan membaca dari pelbagai sumber bahan bacaan dan menjadikan membaca sebagai budaya.


Sebahagian gambar-gambar sempena perasmian Kempen Membaca

Friday, September 11, 2009

Syukur Atas Kehendak Ilahi...

Alhamdulillah,akhirnya saya berpeluang menulis di ruang ini.

Kekangan kerja menyebabkan saya terlewat mengisi ruang ini.

Tapi tak mengapa,saya akan tetap terus men'curi' masa unutuk menulis di ruang ini.

Mengapa??

Kerana terlalu banyak yang ingin saya kongsikan dengan semua orang,termasuk kamu.
Nantikan saya!!